TAMPARULI
Tamparuli, nama ini tidak asing
lagi bagi rakyat Malaysia. Jika disebut tamparuli pasti teringat Jambatan
Gantung Tamparuli dan Rumah Terbalik. Tamparuli merupakan pekan kecil di daerah
Tuaran. Jaraknya dari Kota Kinabalu kira-kira 42 kilometer. Majoriti penduduk
di Tamparuli adalah dikalangan Dusun. Dari segi ekonomi, kebanyakan perniagaan
di Tamparuli dijalankan oleh Bangsa Cina. Selain daripada tarikan-tarikan
seperti Jambatan Gantung Tamparuli, Rumah Terbalik, Galeri Chanteek, Zip Borneo , Kiulu Water White Rafting dan ada satu lagi tarikan baharu iaitu Bukit
Perahu.
Jambatan Tamparuli |
Rumah Terbalik |
BUKIT PERAHU
Bukit Perahu merupakan tarikan
baru di Tamparuli. Ianya dinamakan Bukit Perahu kerana batu besar yang
menyerupai perahu terletak di bukit berkenaan. Sehingga hari ini tiada seorang
pun yang menjumpai batu tersebut. Bukit Perahu ini terkenal dengan laluan
mendaki dikalangan warga tempatan. Bukit Perahu diperkenalkan pada 12 September
2014. Ianya terletak kira-kira 1 kilometer dari Pekan Tamparuli.
Selain itu, Bukit Perahu juga
dikenali sebagai Bukit Ruhiang. Nama Bukit Ruhiang adalah nama panggilan bagi
penduduk kawasan tersebut kerana ianya terletak dalam Kampung Ruhiang. Nama
lain bagi Bukit Perahu ialah Bukit St. Veronica. Nama Bukit St. Veronica ini
terkenal dikalangan penganut agama Kristan di Kampung Ruhiang.
Cerita Rakyat
Pada zaman dahulu kala, ada
seorang jejaka Tamparuli yang kacak bernama Gunsoloi. Gunsoloi mempunyai tubuh
badan yang tegap dan mempunyai perwatakan yang sopan dan berbudi bahasa. Dia
seorang yang sangat taat kepada ibunya. Pada zaman tersebut, penduduk-penduduk
di Tamparuli masih percaya kepada ramalan bomoh (bobohizan/ momolian) dimana
mereka menjadi perantaraan kepada Tuhan/dewa (Kinoingan).
Pada suatu hari, Bobohizan
meramalkan bahawa akan berlaku gerhana matahari dan akan ada berlaku banjir
besar yang akan menenggelamkan kawasan Tamparuli. Setelah mendengar khabar
tersebut, Gunsoloi mengambil keputusan untuk mencari sebatang pokok yang besar
untuk dijadikan perahu untuk menyelamatkan keluarga dan penduduk kampungnya.
Setelah beberapa hari pergi ke hutan, Gunsoloi menjumpai sebatang pokok yang
cukup besar di atas bukit yang sesuai untuk dijadikan perahu. Keesokan harinya,
Gunsoloi pun mula membuat perahu. Setiap pagi dia akan berjalan kaki dan
memanjat bukit untuk menyiapkan perahu tersebut.
Setiap hari ibu Gunsoloi akan
membekalkan nasi untuk Gunsoloi. Pada satu ketika, Gunsoloi mendapati nasi yang
dibekalkan oleh ibunya telah bertukar, dan ianya berterusan selama beberapa
hari. Nasi putih yang dibawanya bertukar kepada Nasi merah dan apabila dia membawa
bekal nasi merah ia akan bertukar kepada nasi putih. Gunsoloi pun menyiasat
kejadian ini. Setiap pagi dia bertanyakan kepada ibunya nasi apa yang akan
dibekalnya.
Sehingga suatu ketika, Gunsoloi
mendapati nasi yang dibawanya tertukar dengan makanan orang bunian yang tinggal
dikawasan bukit tersebut. Makanannya bertukar dengan makanan puteri bunian.
Gunsoloi jatuh cinta pada puteri bunian yang jelita. Gunsoloi pun mengambil
keputusan untuk bermalam di bukit tersebut sambil menyiapkan perahunya. Sejak kejadian
itu, Gunsoloi yang begitu taat dengan ibunya mula untuk jarang balik ke rumah
dan akhirnya dia tidak kembali lagi ke rumah setelah berkahwin dengan puteri
bunian.
Hari yang diramalkan oleh
Bobohizan semakin tiba, gerhana matahari dan kemungkinan hujan lebat akan
berlaku. Gunsoloi yang ketika itu berada di alam bunian meminta kebenaran
daripada isterinya untuk pulang sekejap berjumpa keluarganya untuk memberitahu
yang dia sudah berkahwin di alam bunian dan sudah berjaya menyiapkan perahu
tersebut. Puteri bunian membenarkan Gunsoloiuntuk pulang dengan syarat Gunsoloi
mesti pulang semula ke rumah alam bunian sebelum gerhana matahari berakhir.
Ketika si Gunsoloi sampai di
rumahnya, gerhana matahari baru hendak bermula. Gunsoloi pun bertemu ibunya dan
menceritakan tentang perkahwinannya dengan puteri bunian dan tentang perahu
yang berjaya disiapkannya. Sebelum gerhana matahari berakhir, Gunsoloi ingin
pulang semula ke alam bunian. Tetapi ibunya menghalangnya kerana Gunsoloi baru
sahaja pulang setelah hilang sekian menghilang. Gunsoloi tetap dengan
pendiriannya untuk balik ke alam bunian, ibunya berasa kecil hati dan kecewa
terhadap Gunsoloi yang dahulunya taat dn kini berubah sama sekali. Gunsoloi
berlari keluar rumah, di ikuti oleh ibunya yang sedang menangis disaksikan
gerhana matahari.
Gerhana matahari yang terharu
dengan kesedihan ibu Gunsoloi dan menitiskan airmatanya dikawasan bukit.Perahu
yang dibina Gunsoloi dan barang-barang keperluannya semua bertukar menjadi batu
terkena air mata gerhana matahari. Sejak dari hari itu,Gunsoloi hilang begitu
sahaja,tidak dapat dipastikan sama ada dia kembali ke pangkuan bininya atau
turut bertukar menjadi batu hingga ke hari ini.
LALUAN TREK BUKIT PERAHU
Bukit Perahu ini mempunyai
ketinggian kira-kira 272 meter dari aras laut. Jarak trek mendaki dari titik
permulaan ke puncak lebih kurang 800 meter dan mengambil masa kira-kira 30
minit untuk sampai ke puncak. Terdapat 14 checkpoint berbentuk salib sepanjang
trek. Permukaan trek yang agak curam mencabar fizikal setiap pendaki yang
inginkan cabaran. Trek mendaki ini juga sesuai bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dengan aktiviti mendaki dan boleh dijadikan latihan sebelum mendaki Gunung Kinabalu.
Setelah tiba di puncak, pendaki
akan disajikan dengan pemandangan yang indah. Pendaki dapat melihat pekan
Tamparuli dan Pekan Tuaran dengan jelas. Selain itu, Gunung Kinabalu yang
mejadi kebanggaan rakyat Sabah juga jelas kelihatan.
Titik permulaan pendakian |
Bukit yang curam |
Check-point |
Permukaan yang berbatu |
Rintangan yang perlu dihadapi |
Check-point terakhir |
Puncak Bukit Perahu |
Pemandangan Pekan Tamparuli |
Pemandangan Gunung Kinabalu |
PESANAN, TIPS DAN KEPERLUAN
SEMASA MENDAKI
- Gunakan pakaian yang sesuai untuk aktiviti lasak.
- Pemakaian kasut yang sesuai seperti kasut sukan atau kasut untuk mendaki penting untuk kaki dan boleh mengelakan kemalangan semasa pendakian.
- Bawa bekalan air yang mencukupi.
- Keperluan peralatan pendakian seperti tongkat adalah penting kerana keadaan bukit yang curam.
- Bawa lampu picit jika pendakian dilakukan pada awal pagi atau lewat petang.
- Mendaki mengikut aluan trek yang telah disediakan.
- Jangan membuang sampah merata-rata.
DISEDIAKAN OLEH
Diomera
Adi Izewan
Fatinah