Sunday, April 17, 2016

BUKIT PERAHU


TAMPARULI


Tamparuli, nama ini tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Jika disebut tamparuli pasti teringat Jambatan Gantung Tamparuli dan Rumah Terbalik. Tamparuli merupakan pekan kecil di daerah Tuaran. Jaraknya dari Kota Kinabalu kira-kira 42 kilometer. Majoriti penduduk di Tamparuli adalah dikalangan Dusun. Dari segi ekonomi, kebanyakan perniagaan di Tamparuli dijalankan oleh Bangsa Cina. Selain daripada tarikan-tarikan seperti Jambatan Gantung Tamparuli, Rumah Terbalik, Galeri Chanteek, Zip Borneo , Kiulu Water White Rafting dan ada satu lagi tarikan baharu iaitu Bukit Perahu.
Jambatan Tamparuli


Rumah Terbalik

BUKIT PERAHU 

Bukit Perahu merupakan tarikan baru di Tamparuli. Ianya dinamakan Bukit Perahu kerana batu besar yang menyerupai perahu terletak di bukit berkenaan. Sehingga hari ini tiada seorang pun yang menjumpai batu tersebut. Bukit Perahu ini terkenal dengan laluan mendaki dikalangan warga tempatan. Bukit Perahu diperkenalkan pada 12 September 2014. Ianya terletak kira-kira 1 kilometer dari Pekan Tamparuli.

Selain itu, Bukit Perahu juga dikenali sebagai Bukit Ruhiang. Nama Bukit Ruhiang adalah nama panggilan bagi penduduk kawasan tersebut kerana ianya terletak dalam Kampung Ruhiang. Nama lain bagi Bukit Perahu ialah Bukit St. Veronica. Nama Bukit St. Veronica ini terkenal dikalangan penganut agama Kristan di Kampung Ruhiang.

Bukit Perahu



Cerita Rakyat

Pada zaman dahulu kala, ada seorang jejaka Tamparuli yang kacak bernama Gunsoloi. Gunsoloi mempunyai tubuh badan yang tegap dan mempunyai perwatakan yang sopan dan berbudi bahasa. Dia seorang yang sangat taat kepada ibunya. Pada zaman tersebut, penduduk-penduduk di Tamparuli masih percaya kepada ramalan bomoh (bobohizan/ momolian) dimana mereka menjadi perantaraan kepada Tuhan/dewa (Kinoingan).

Pada suatu hari, Bobohizan meramalkan bahawa akan berlaku gerhana matahari dan akan ada berlaku banjir besar yang akan menenggelamkan kawasan Tamparuli. Setelah mendengar khabar tersebut, Gunsoloi mengambil keputusan untuk mencari sebatang pokok yang besar untuk dijadikan perahu untuk menyelamatkan keluarga dan penduduk kampungnya. Setelah beberapa hari pergi ke hutan, Gunsoloi menjumpai sebatang pokok yang cukup besar di atas bukit yang sesuai untuk dijadikan perahu. Keesokan harinya, Gunsoloi pun mula membuat perahu. Setiap pagi dia akan berjalan kaki dan memanjat bukit untuk menyiapkan perahu tersebut.

Setiap hari ibu Gunsoloi akan membekalkan nasi untuk Gunsoloi. Pada satu ketika, Gunsoloi mendapati nasi yang dibekalkan oleh ibunya telah bertukar, dan ianya berterusan selama beberapa hari. Nasi putih yang dibawanya bertukar kepada Nasi merah dan apabila dia membawa bekal nasi merah ia akan bertukar kepada nasi putih. Gunsoloi pun menyiasat kejadian ini. Setiap pagi dia bertanyakan kepada ibunya nasi apa yang akan dibekalnya.

Sehingga suatu ketika, Gunsoloi mendapati nasi yang dibawanya tertukar dengan makanan orang bunian yang tinggal dikawasan bukit tersebut. Makanannya bertukar dengan makanan puteri bunian. Gunsoloi jatuh cinta pada puteri bunian yang jelita. Gunsoloi pun mengambil keputusan untuk bermalam di bukit tersebut sambil menyiapkan perahunya. Sejak kejadian itu, Gunsoloi yang begitu taat dengan ibunya mula untuk jarang balik ke rumah dan akhirnya dia tidak kembali lagi ke rumah setelah berkahwin dengan puteri bunian.

Hari yang diramalkan oleh Bobohizan semakin tiba, gerhana matahari dan kemungkinan hujan lebat akan berlaku. Gunsoloi yang ketika itu berada di alam bunian meminta kebenaran daripada isterinya untuk pulang sekejap berjumpa keluarganya untuk memberitahu yang dia sudah berkahwin di alam bunian dan sudah berjaya menyiapkan perahu tersebut. Puteri bunian membenarkan Gunsoloiuntuk pulang dengan syarat Gunsoloi mesti pulang semula ke rumah alam bunian sebelum gerhana matahari berakhir.

Ketika si Gunsoloi sampai di rumahnya, gerhana matahari baru hendak bermula. Gunsoloi pun bertemu ibunya dan menceritakan tentang perkahwinannya dengan puteri bunian dan tentang perahu yang berjaya disiapkannya. Sebelum gerhana matahari berakhir, Gunsoloi ingin pulang semula ke alam bunian. Tetapi ibunya menghalangnya kerana Gunsoloi baru sahaja pulang setelah hilang sekian menghilang. Gunsoloi tetap dengan pendiriannya untuk balik ke alam bunian, ibunya berasa kecil hati dan kecewa terhadap Gunsoloi yang dahulunya taat dn kini berubah sama sekali. Gunsoloi berlari keluar rumah, di ikuti oleh ibunya yang sedang menangis disaksikan gerhana matahari.

Gerhana matahari yang terharu dengan kesedihan ibu Gunsoloi dan menitiskan airmatanya dikawasan bukit.Perahu yang dibina Gunsoloi dan barang-barang keperluannya semua bertukar menjadi batu terkena air mata gerhana matahari. Sejak dari hari itu,Gunsoloi hilang begitu sahaja,tidak dapat dipastikan sama ada dia kembali ke pangkuan bininya atau turut bertukar menjadi batu hingga ke hari ini.





LALUAN TREK BUKIT PERAHU


Bukit Perahu ini mempunyai ketinggian kira-kira 272 meter dari aras laut. Jarak trek mendaki dari titik permulaan ke puncak lebih kurang 800 meter dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sampai ke puncak. Terdapat 14 checkpoint berbentuk salib sepanjang trek. Permukaan trek yang agak curam mencabar fizikal setiap pendaki yang inginkan cabaran. Trek mendaki ini juga sesuai bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dengan aktiviti mendaki dan boleh dijadikan latihan sebelum mendaki Gunung Kinabalu.



Trek Mendaki Bukit Perahu

Setelah tiba di puncak, pendaki akan disajikan dengan pemandangan yang indah. Pendaki dapat melihat pekan Tamparuli dan Pekan Tuaran dengan jelas. Selain itu, Gunung Kinabalu yang mejadi kebanggaan rakyat Sabah juga jelas kelihatan.





GAMBAR-GAMBAR SEKITAR PENDAKIAN BUKIT PERAHU


Titik permulaan pendakian
Bukit yang curam

Check-point
Permukaan yang berbatu

Rintangan yang perlu dihadapi

Check-point terakhir

Puncak Bukit Perahu
Pemandangan Pekan Tamparuli
Pemandangan Gunung Kinabalu 



PESANAN, TIPS DAN KEPERLUAN SEMASA MENDAKI

  • Gunakan pakaian yang sesuai untuk aktiviti lasak.
  • Pemakaian kasut yang sesuai seperti kasut sukan atau kasut untuk mendaki penting untuk kaki dan boleh mengelakan kemalangan semasa pendakian.
  • Bawa bekalan air yang mencukupi.
  • Keperluan peralatan pendakian seperti tongkat adalah penting kerana keadaan bukit yang curam.
  • Bawa lampu picit jika pendakian dilakukan pada awal pagi atau lewat petang.
  • Mendaki mengikut aluan trek yang telah disediakan.
  •  Jangan membuang sampah merata-rata.




DISEDIAKAN OLEH
Diomera
Adi Izewan
Fatinah

No comments:

Post a Comment